Hari Kesedaran Tolak Ubat Tidak Sah (TOBATS) anjuran Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (BPFKKM) adalah satu inisiatif penting yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya penggunaan ubat-ubatan tidak sah dan tiruan.
Melalui pelbagai aktiviti interaktif, pameran pendidikan, dan ceramah kesihatan, kempen ini mengajak orang ramai untuk memahami risiko kesihatan yang serius akibat penggunaan ubat yang tidak berdaftar atau palsu.
Ia juga menekankan pentingnya mendapatkan ubat hanya daripada sumber yang sah, seperti farmasi berlesen, bagi melindungi kesihatan diri dan keluarga.
Hari Kesedaran ini adalah langkah proaktif KKM dalam melindungi rakyat daripada ancaman produk farmaseutikal yang meragukan, sambil memupuk kesedaran kolektif untuk menolak sebarang bentuk ubat yang tidak mematuhi standard keselamatan.
Hari Kesedaran TOBaTS yang pertama telah diadakan pada 21 Mei 2024. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya ceramah, pameran , permainan dan kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah yang menarik.
Antara barisan penceramah berkaliber yang telah membuat perkongsian pada hari Kesedaran TOBaTS yang pertama adalah :
En Mohammad Rizalmazli Bin Salim dari Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menyampaikan tajuk ceramah Kawalan Produk Kesihatan di Malaysia
Ceramah Bertajuk Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia disampaikan oleh Pn Ameirah dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara
Pn Munira Binti Muhammad dari Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi menyampaikan ceramah bertajuk Evolusi Kenali Ubat Anda : Pembudayaan Literasi Kesihatan
Pengiklanan Produk Ubat & Perkhidmatan Kesihatan di Malaysia disampaikan oleh Pn Suliati Binti Md Zin dari Bahagian Penguatkuasaan Farmasi
Pemesongan Ubat & Bahan Terkawal disampaikan oleh Pn Aimi Binti ZUlkifli dari Bahagian Penguatkuasaan Farmasi
Hari Kesedaran TOBaTS yang kedua telah diadakan pada 24 Oktober 2024. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya ceramah, pameran , permainan dan kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah yang menarik.
Hari Kesedaran Tobats Bil. 2/2024 ini telah diadalan di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur dan telah dihadiri oleh kira-kira 120 peserta dari kalangan pemegang taruh dan orang awam.
Sebanyak empat ceramah telah diberikan. Ceramah pertama bertajuk 'Tolak Ubat Tidak Sah' telah disampaikan oleh En. Muhammad Hafrizan Bin Hassan dari Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Ceramah ke-dua pula yang bertajuk 'Kosmetik - Founder Super' telah disampaikan oleh En. Lian Ka Heng, dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara, KKM.
Sesi ceramah ke-tiga dengan tajuk 'Iklan Perubatan : Boleh Percaya Tak?' telah disampaikan oleh Puan Suliati Binti Mohd Zin. Ceramah ke-empat pula disampaikan oleh Pn. Siti Khuzaimah binti Maarof dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara, KKM dengan tajuk 'Makanan vs Suplemen Kesihatan'.
Ikuti Portal ini untuk medapatkan maklumat lanjut tentang HARI KESEDARAN TOBATS yang seterusnya!